Skip to main content

Gamuda Umum Naikkan Gaji Minimum Graduan, Pekerja Asing Mulai 1 Mei

    Logo: GAMUDA


PELUANG KERJA | Gamuda Bhd melaksanakan semakan semula dasar gaji minimum dalamannya membabitkan pekerja asing dan graduan berkuat kuasa 1 Mei 2022 dengan gaji minimum pekerja asing syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu dinaikkan kepada RM1,600 daripada RM1,200.


Gamuda dalam kenyataan media pada 23 Mac 2022 menjelaskan turut menaikkan gaji peringkat kemasukan membabitkan graduan baharu kepada RM3,500 berbanding RM3,300 bagi jurutera dan daripada RM3,000 kepada RM3,200 bagi graduan bukan jurutera.


Syarikat itu berkata dasar kumpulan yang lama wujud ialah menyediakan penginapan kepada pekerja asing di Kuarters Buruh Berpusat (CLQ) yang dibina khas tanpa kos.


Katanya, CLQ itu mempunyai spesifikasi reka bentuk standard untuk memastikan tenaga kerjanya ditempatkan dengan selesa dan selamat dengan akses kepada kemudahan seperti dapur umum, dobi, kedai runcit dan kemudahan perubatan serta kemudahan rekreasi seperti gelanggang futsal.


"Kami yakin melalui pengalaman selama ini yang menyediakan penginapan selesa dan persekitaran kehidupan kondusif untuk pekerja diterjemahkan kepada semangat dan produktiviti yang lebih baik di tempat kerja," katanya.


Walaupun memastikan pekerja diupah secara langsung tidak terdedah kepada perhambaan jangka panjang dengan menanggung yuran ejen atau orang tengah, Gamuda berkata, ia bekerjasama dengan rantaian bekalan dan sub-kontraktor dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyelaraskan mereka dengan keperluannya.


Ia berkata, risiko perhambaan perlu dibendung dan diurus menuju ke depan memandangkan bayaran orang tengah menjadi satu kaedah untuk eksploitasi pekerja asing.


Mengenai kenaikan gaji peringkat kemasukan untuk graduan baharu, Gamuda berkata, semakan semula paras gaji itu bagi memastikan tawaran peringkat kemasukan kompetitif dan berada kedudukan teratas dalam industri untuk membolehkan kumpulan terus menarik dan membangunkan bakat diperlukan untuk pertumbuhan perniagaan.


Ia berkata, gaji minimum dan kenaikan gaji peringkat kemasukan graduan meningkatkan tahap gaji asas kumpulan dan seterusnya, tenaga kerja dalam kumpulan gaji di atas paras itu iaitu sehingga RM5,000.


"Pekerja juga akan menikmati kenaikan gaji secara bertingkat untuk disesuaikan dengan ekuiti dalaman," katanya.

Comments